Sunday 24 February 2013

Tugasan Pertama (Bahagian 2)

Bertemu lagi kita dalam bahagian ke-2, entri kali ini berkisahkan tentang kedai makan lain yang popular di kawasan sekitar Gong Badak. Kedai makan yang kami pilih ini adalah sebagai kajian perbandingan antara kedai makan McFly dengan kedai makan yang seterusnya. 
Jika sebelum ini kami memberi sedikit pendedahan mengenai kedai makan McFly yang terkenal di sekitar kawasan Mengabang Telipot, Terengganu  tetapi untuk hari ke-2 kajian, kami ingin berkongsi pula mengenai kedai makan Pok Wan Kopitiam. 


Pok Wan Kopitiam ini terletak di kawasan Gong Badak, Terengganu. Kawasan tumpuan ramai iaitu berhampiran dengan tempat pengajian seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Selain itu, kedai makan ini sangat strategik kerana berada bersebelahan dengan pasar raya besar iaitu pasar raya Hock Kee Seng serta berdekatan dengan kawasan perumahan di sini. 

Pok Wan Kopitiam ini beroperasi pada waktu petang hingga lewat malam sahaja berbanding dengan kedai makan McFly yang hanya beroperasi hingga waktu tengah hari sahaja. Berdasarkan pemerhatian kami, pelanggan yang datang juga adalah terdiri daripada pelbagai golongan seperti golongan pelajar, golongan bekerja dan mereka yang berkeluarga.


Restoran ini besar, pelanggan bebas untuk membuat pilihan sama ada makan di luar atau di dalam kopitiam. Selain itu, Pok Wan Kopitiam ini mempunyai kemudahan wifi dan ruang solat bagi pelanggan di sini.

Bagi mereka yang di luar sana, cubalah datang menjamu selera di sini. Kami cadangkan anda untuk merasai kelainan makanan di Pantai Timur terutamanya di Terengganu. Mungkin anda juga akan terpikat dengan pelbagai jenis masakan Pantai Timur yang lain di tempat anda.  


Tugasan kami masih belum sampai ke penghujungnya, kerana tugasan kali ini kami cuba memberi anda serba sedikit mengenai dua jenis restoran mahupun gerai makan yang berbeza...ehmm akan tetapi kali ini kami cuba mendedahkan kepada anda semua tentang apa yang istimewanya Pok Wan Kopitiam.. hehe.. dari nama pun kita dah boleh teka kan?? Pok Wan Kopitiam ni menyediakan pelbagai jenis makanan dari makanan tradisional masyarakat Melayu khususnya di negeri Terengganu sehinggalah makanan jenis 
''Western Food".


Menu special yang terdapat di Pok Wan Kopitiam......


Antara makanan yang dapat kami kongsikan di sini buat tontonan umum...


Antara jenis minuman yang terdapat di Pok Wan Kopitiam adalah jus segar antaranya seperti jus mangga, tembikai, lobak dan pelbagai pilihan lagi.. walaupun harganya agak mahal namun harga yang dibayar memang berbaloi dengan apa yang diperolehi, jadi memang tak rugi..




Pok Wan Kopitiam bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis menu, tetapi menu yang ditawarkan juga mempunyai rasa yang tersendiri berbanding restoran yang lain malahan aspek kebersihan juga amat dititikberatkan dalam setiap penyediaan makanan, tambahan lagi setiap staf di sini juga dikehendaki berpakaian kemas serta memberikan servis perkhidmatan yang terbaik, bahkan pemilik kopitiam ini juga iaitu Pok Wan sendiri turut sama melayani pelanggannya.

Salah satu tarikan yang ada di sini juga iaitu burger bakar. Keunikan burger bakar Pok Wan Kopitiam adalah, daging burger bakar dihasilkan sendiri menggunakan daging segar dan resepi istimewa.

yang ni pula adalah Nasi Goreng Klasik...


Nasi Goreng "Chicken Chop"


Berikut adalah antara kemudahan yang disediakan untuk para pelanggan..






Dan yang paling penting sekali, Pok Wan Kopitiam ni tidak menjalankan perniagaan secara haram kerana Pok Wan Kopitiam mempunyai lesen perniagaan yang sah dari sisi undang-undang..


Setiap perkerja juga menggunakan sistem "Punch card".











Kopitiam mahu pun kedai makan McFly mempunyai tarikan dan kelebihan yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dari sudut yang berbeza. Setiap pelanggan yang datang tentunya terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur. Pelanggan yang datang juga mempunyai status sosial yang berbeza dan seterusnya akan mewujudkan kehendak serta keinginan yang berbeza. Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai taraf status ekonomi yang tinggi tentunya akan memilih tempat makan yang bersesuaian dengan cita rasa mereka.


Akhir sekali, perubahan sosial yang berlaku pada masa kini juga dapat dilihat apabila gaya pemakanan masyarakat pada masa dahulu yang hanya tertumpu untuk memilih makanan seperti nasi dan lauk pauk sahaja, tetapi pada hari ini pemikiran masyarakat sekarang telah di kontrak sosial kan dengan perubahan gaya pemakanan ke arah yang lebih bersifat kebaratan. Perubahan gaya pemakanan yang telah diadaptasikan dalam kehidupan masyarakat kini berbeza dengan dahulu dilihat dalam pelbagai makanan seperti chicken chop, burger bakar dan spageti.


Sekian sahaja entri kami pada kali ini. 

Saturday 23 February 2013

Tugasan Pertama (Bahagian 1)

Hari pertama untuk subjek Pembangunan dan Perubahan Sosial ini, kami telah diberikan tugas. Erm... kami diberi tajuk mengenai kedai makan 'McFly'. McFly sangat terkenal di kawasan Mengabang Telipot dan sekitarnya. Umumnya, kedai makan ni sinonim dalam kalangan pelajar IPTA yang berhampiran. Pada awalnya, kami pun tertanya-tanya apakah keistimewaan kedai makan ini???

Kami mula membuat tinjauan untuk mengkaji apakah kelebihan kedai McFly ini. 

Jom, ikut kami .........


Kami sebenarnya tidak tahu pun lokasi sebenar kedai makan McFly ni. Kami ke sini pun dengan berpandukan pelan lokasi yang diberi oleh kawan kami hanya menerusi sistem pesanan ringkas dan Alhamdulilah kami sampai juga ke destinasi yang dituju. Masa ni kami kelam kabut juga, takut tersesat tapi nasib kami sangat baik kerana dengan bantuan pelan tersebut akhirnya kami tiba di kedai makan McFly ini. Setibanya kami di sini, mula-mula tu kami agak tercengang juga dan untuk mendapatkan kepastian, salah seorang daripada kami call kawan kami yang memberikan petunjuk melalui pelan tadi. Menerusi petunjuk dan petanda yang diberi, akhirnya kami berasa sangat lega kerana kami tiba di lokasi yang betul!


Al maklumlah sebelum ni, kami hanya mendengar 'cakap-cakap' orang tentang kedai makan McFly. Kedai McFly terkenal di sekitar kawasan sini kerana kedudukan strategik yang berada dalam kawasan tumpuan orang ramai juga berhampiran dengan pantai, harga makanan dan minuman yang sangat murah serta banyak. 


Kedai makan ni hanya dibuka pada waktu siang sahaja, dibuka sehingga tengah hari. Kalau pergi petang, sia-sia je laa. Kedai McFly ini terkenal dengan nasi goreng yang banyak dalam sebungkus tu, boleh ditambah dengan telur goreng, sambal dan ayam goreng. Nyam nyam.. dengar macam sedap kan? Cuba tengok gambar di atas ni, banyak kan bungkusan nasi tu? Selain itu, ada juga nasi ayam dan pelbagai lagi masakan yang lain. Harga? jangan risau tentang harga, sebab harga makanan ni hanya dalam RM3 ke bawah sahaja. 


Teh'O peng atau lebih dikenali sebagai teh'O ais cuma berharga RM 0.70. Kami hanya minum je ketika menjalankan kajian. 

Ni salah satu meja pelanggan yang ada di situ.
Kami dapati kedai ni berunsur semangat 'hijau',sehinggakan kipas pun dicat dengan warna hijau! (Tak sempat nak ambil gambar kipas). 


Kalau dilihat berdasarkan pemerhatian kami, pelanggan yang datang makan di sini bukan sahaja terdiri daripada golongan pelajar sahaja malah ada juga golongan bekerja yang makan tengah hari di sini. Mereka kebanyakan datang menaiki kenderaan sendiri. Wah, kereta besar-besar datang. Ada juga penduduk di sini yang mungkin pelanggan tetap yang sering mengunjungi kedai makan ini. 

Antara gambar yang sempat kami ambil sepanjang berada di kedai McFly ni.

Sudu dan garpu diletakkan di atas meja dalam susunan begini.






Gambar ni diambil di luar bahagian hadapan kedai McFly.


Setakat ini sahaja hasil laporan kajian kami mengenai kedai makan McFly ni. Tugasan yang diberi ini sedikit sebanyak memberikan kami pengalaman membuat kerja luar tentang kedai makan yang popular sekitar di kawasan Mengabang Telipot, Terengganu. 


Sekian untuk entri kami pada kali ini, tunggu sambungan bahagian ke-2...



Entri Pertama




Pada awalnya, kami diberi tugas dalam subjek teras kursus kami iaitu subjek Pembangunan dan Perubahan Sosial oleh pensyarah kami untuk menghasilkan sebuah blog yang informatif, menarik dan kreatif. Kami sekumpulan mula berfikir dan tertanya-tanya, apakah tema yang sesuai untuk dihasilkan dalam blog kami ini ye?? Kami sahut cabaran itu dengan kerjasama dan sebulat suara kami sekumpulan, lahirlah blog yang kami hasilkan ini dengan tema "sejambak mawar merah".

"Sejambak mawar merah" merupakan simbolik dan tema kumpulan kami. Tema ini dipilih kerana ahli kumpulan kami terdiri daripada kaum wanita. Kami juga percaya kepada kekuatan kumpulan kami. Kaum wanita juga mampu menyahut cabaran masa kini. 


Pada masa kini, blog merupakan sebuah medium yang mampu menjadi saluran suara orang ramai untuk menzahirkan pendapat, meluahkan kata-kata yang berunsur positif dan tentunya ia bersifat umum. 

Oleh itu, tidak dinafikan pada masa kini setiap individu mempunyai blog mereka sendiri. Ada yang menjadikan blog sebagai diari dalam kehidupan mereka, ada yang menjadikan blog sebagai tempat untuk menyuarakan pendapat dalam isu-isu tertentu seperti dalam penulisan ilmiah, akademik, politik dan sebagainya. 


Walaupun blog bersifat umum, namun individu tersebut harus menjaga etika semasa menyampaikan penulisan mereka. Pembaca yang akan membaca blog kita adalah terdiri daripada pelbagai golongan, tidak kira dalam kalangan muda, dewasa, golongan berkerjaya dan golongan profesional.

Kita sebagai golongan cerdik IT masa kini, harus lebih terbuka dan lebih berhati-hati. Memandangkan kita kini berada dalam dunia tanpa sempadan, pelbagai arus teknologi yang diperkenalkan semakin maju dan canggih ke hadapan. Tentunya kita tidak mahu menjadi orang yang buta IT kerana ketinggalan dek arus zaman. Sebaik-baiknya kita guna dan aplikasikan segala kemudahan teknologi yang wujud sekarang dengan penuh rasa tanggungjawab  .

Itu sahaja untuk entri pertama kali ini, semoga kita dapat memanfatkan blog sebagai medium teknologi dalam mencari seluas lautan ilmu di bumi Allah ini dengan sebaik-baiknya.