Sunday, 31 March 2013

Brunei Darussalam.....


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri pada kali ini akan membincangkan sebuah negara iaitu BRUNEI DARUSSALAM.

Sejarah awal Brunei Darussalam.


Dari abad ke-14 hingga abad ke-16 Brunei Darussalam adalah ibu kepada kesultanan yang berkuasa tersebar hingga ke Sabah, Sarawak, dan Phillipine dibawah bayu. Oleh yang demikian, Sultan sekarang mewakili salah satu pemerintahan dinasti tertua di dunia yang masih berterusan. Pada abad ke-19, empire Brunei Darussalam pernah ditolak jauh dengan peperangan, rompakan dan penjejahan berleluasa oleh kuasa bangsa Europe.

Pada tahun 1847, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan ketika itu membuat satu perjanjian treaty dengan Great Britain dan pada tahun 1988 Brunei Darussalam dengan rasminya dibawah perlindungan British. Pada tahun 1906, sistem ‘Residential’ pertama kalinya telah ditubuhkan di Brunei Darussalam. Soeorang British residen telah dicalonkan sebagai wakil kerajaan British untuk menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam semua segi hal kecuali adat melayu, tradisi dan agama Islam.

Perjanjian 1959 telah mencatatkan perlembagaan yang memberikan Brunei Darussalam hak pemerintahan kerajaan bagi hal-ehwal dalaman sendiri. Pada tahun 1971, perjanjian tersebut telah diubah dan disemak untuk menegaskan sepenuh kemerdekaan bagi hal-ehwal dalaman kecuali pertahanan dan hal-ehwal luar negeri.

Pada tahun 1967, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah menurunkan takhta kepada anakanda Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah. Pada 1hb Januari 1984, Brunei Darussalam telah memperolehi kembali sepenuh kemerdekaan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengambil alih pejabat sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dimana tertubuhnya satu kabinet dengan ahlinya sebanyak 6 orang.

Pada Oktober 1986, kabinet tersebut dibesarkan kepada 11 orang ahli, yang mana Baginda Sultan memegang jawatan menteri kewangan, menteri hal ehwal dalam negeri dan menteri pertahanan yang telah diambil alih daripada Al-Marhum Ayahanda Baginda Sultan sejak tahun 1984. Pada tahun 1988, satu perombakan dilakukan untuk pengangkatan timbalan menteri ke menteri dan penubuhan satu kementerian perindustrian dan sumber-sumber utama untuk memperkembangkan pembangunan negara

Bendera Kebangsaan Brunei Darussalam

Bendera Negara berbentuk segi empat, dimana ianya terbahagi kepada 4 komponen, 2 segi empat selari (parallelograms) dan 2 trapezium yang dibelah dengan parallelogram jarak 6.35 sentimeter kebawah di korner atas sebelah kiri hingga ke korner dibawah sebelah kanan dengan jarak jumlah yang sama.

Ukuran bendera 82 sentimeter ketinggian dengan 91.4 sentimeter lebar.

Parallelogram tersebut membahagikan bentuk empat segi itu seolah-olah menubuhkan 2 trapezium dengan ukuran yang sama dibawah dan diatas bendera tersebut, yang mana trapezium sebelah bawah dapat dilihat seperti trapezium sebelah atas dalam posisi sonsang.

Parallelogram tersebut juga terbahagi kepada 2 parallelogram yang berbeza ketinggiannya, sebelah atas 2.54 sentimeter lebih besar daripada yang sebelah bawah, dimana sebelah atas mempunyai kelebaran 19.05 sentimeter.

Panji-Panji lambang Negara berwarna merah dan berada didepan dan ditengah-tengah bendera.

Jari telunjuk lengan tegak berdiri untuk membantu memegang lambang bulan sabit merah, terletak pada jarak yang sama iaitu 61 sentimeter dari kiri dan kanan sebelah bendera.

Tulisan jawi berwarna kuning yang terukir pada lambang panji-panji merah itu adalah moto Negara. Secara kasar bermaksud: ‘Sentiasa Memberikan Khidmat Dengan Pertunjuk Allah’

Bendera tersebut mempunyai empat warna, merah untuk panji-panji, kuning untuk ‘trapeziums’, putih untuk ‘parallelogram’ aras atas dan hitam untuk ‘parallelogram’ aras bawah.
Peta negara Brunei

Kepimpinan negara Brunei

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN AND YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah juga Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, dan Menteri Kewangan Negara Brunei Darussalam.

Selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda adalah Kuasa Memerintah Tertinggi di Negara Brunei Darussalam. Dalam menjalankan tugas-tugas Baginda, Baginda dibantu oleh Majlis-Majlis Mesyuarat berikut: Majlis Mesyuarat Diraja, Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, Majlis Ugama Islam, Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet, dan Majlis Mesyuarat Negara.


Monday, 11 March 2013

Teori Sistem Dunia : Kajian Kes di Terengganu

Teori Sistem Dunia

Kumpulan kami memilih skop dalam Terengganu sebagai kajian kes. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai pusat, Gong Badak sebagai separa pinggir dan Kuala Terengganu sebagai pinggir.




Berdasarkan rajah di atas, UniSZA dilihat sebagai pusat kerana UniSZA dikategorikan sebagai kawasan yang dominan kerana menjadi kawasan tumpuan dalam sosio-ekonomi bagi kawasan separa pinggir dan pinggir.

Berdasarkan teori sistem dunia, wujud kebergantungan antara satu sama lain. Kewujudan UniSZA sebagai kawasan pusat menjadi medium kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi kawasan separa pinggir iaitu Gong Badak dan sekaligus akan meningkatkan kuasa membeli (purchasing power) dalam kalangan masyarakat setempat.

Akhir sekali, kajian yang kami jalankan mengenai UniSZA, kawasan Gong Badak dan Kuala Terengganu mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam teori kebergantungan ini. Setiap skop ini mempunyai fungsi yang tersendiri dalam membangun dan memajukan sesuatu kawasan di samping saling bergantungan antara satu sama lain.

TEORI SISTEM DUNIA (World Sistem Theory)



Teori sistem dunia diasaskan oleh Immanuel Wallerstein, Wallerstein lahir pada 1930 di New York, beliau  melanjutkan pelajaran di  Universitas Columbia dan meraih gelar BS, MA and PhD. Mentor utamanya mahupun individu yanmg mejadi tokoh idaman beliau adalah C. Wright Mills. Wallerstein belajar mengenai  persoalan sensitifitas historis, soal makrostruktur, dia menolak liberalisme dan, dalam beberapa hal, Marxisme. Teori sistem dunia  adalah teori yang menjelaskan  bentuk hubungan beberapa  negara dalam sistem dunia yang terbagi dalam tiga bentuk negara iaitu negara sentral,core mahupun pusat, negara semi pinggiran mahupun separa pinggiran  dan negara pinggiran.

Dalam teori sistem dunia, terdapat tiga aspek yang paling penting seperti yang telah diterangkan diatas, pusat, mahupun teras adalah merujuk kepada negara-negara yang maju dan kaya dari segi pembagunan, ekonomi dan juga perindustrian. Selain daripada itu juga negara-negara yang di label pada, bahagian pusat ini juga adalah merupakan negara-negara yang merupakan negara pengeluar ekonomi yang paling dominan dan menguasai pasaran ekonomi dunia, seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China yang mana negara-negara ini memiliki kuasa besar dunia.

Seterusnya adalah separa penggiran mahupun semi penggiran, yang mana negara-negara yang tergolong dalam kumpulan ini adalah seperti negara kita sendiri yakni Malaysia, Indonesia dan kebanyakan negara-negara sekitar Asia. negara-negara separa penggiran ini merupakan negara yang sedang membangun dan mempunyai tahap pencapaian ekonomi yang agak memberangsangkan.

Manakala yang terakhir adalah negara pinggiran, yang mana negara pinggiran merupakan kumpulan negara yang miskin dan kurang maju, bahkan negara-negara seperti ini juga mempunyai taraf kehidupan yang rendah, miskin dan mundur dalam erti kata yang lain negara-negara seperti ini mempunyai taraf pencapaian ekonomi, pendidikan dan pembangunan yang sangat rendah dan kurang berkembang.


Wallerstein juga mengaitkan beberapa teori lain bagi menerangkan mengenai pembangunan sesebuah negara, iaitu Teori Kebergantungan ( Dependency Theory ). Melalui teori ini Wallerstien, menjelaskan kepada kita bagaimana ketiga-tiga bentuk negara ini saling bergantung dan mempunyai perkaitan yang rapat diantara satu sama lain seperti yang ditunjukan dalam gambar rajah dibawah :




Melalui teori ini Wallerstein, menunjukan kepada kita bagaimana negara "Core" bergantung kepada negara separa pinggiran dan bagaimana negara separa pinggiran bergantung kepada negara pinggiran, dan begitu juga sebaliknya yang mana negara pinggiran akan bergantung kepada negara separa pinggiran dan separa pinggiran akan bergantung kepada negara pusat. Konsep kebergantungan disini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis kebergantungan misalnya seperti kebergantungan berbentuk kewangan, teknologi dan juga kebergantungan sumber,  misalnya pergantungan berbentuk kewangan, yang mana negara separa pinggiran dan pinggiran akan mendapatkan bantuan dari negara pusat, contohnya apabila sesebuah negara miskin tidak mempunyai dana berbentuk kewangan dan amat memerlukan bantuan berbentuk kewangan, oleh yang demikian negara miskin mahupun  pinggiran, haruslah meminta bantuan daripada negara pusat oleh itu disini kita dapat melihat bagaimana konsep kebergantungan yang pertama berlaku, akan tetapi konsep kebergantungan disini bukan hanya melibatkan negara pinggiran sahaja hal ini kerana negara pusat juga bergantung kepada negara miskin misalnya negara pusat mahupun negara kaya mempunyai wang akan tetapi negara kaya kekurangan sumber dari aspek seperti minyak kelapa sawit, oleh yang demikian negara kaya perlu mendapatkan bantuan dan dana daripada negara miskin yang mempunyai sumber akan tetapi tidak mempunyai wang. misalnya seperti Malaysia dan Amerika Syarikat yang mana Malaysia memerlukan teknologi manakala Amerika Syarikat memerlukan minyak kelapa sawit, akan tetapi konsep kebergantungan ini juga kadang-kadang akan mewujudkan penindasan oleh negara-negara kaya kepada negara-negara miskin.

Monday, 4 March 2013

Konsep Pembangunan

Menurut Para Sarjana Sains Sosial dan Kemanusiaan, pembangunan adalah sebahagian daripada proses perubahan sosial yang lebih menyeluruh sifatnya. Pembangunan itu pula dibahagikan oleh kepada dua kategori iaitu pertama, pembangunan yang dirancang, dan kedua pembangunan yang tidak dirancang. 

         Ternyata hampir keseluruhan tumpuan dunia selama ini adalah terhadap pembangunan yang dirancang. Pembangunan berbentuk ini melibatkan usaha sedar manusia merancang perubahan dalam hidup mereka. Tindakan ini sering diungkapkan sebagai social engineering iaitu yang melibatkan banyak pihak untuk menjayakannya. Dalam konteks sebuah masyarakat, tindakan merancang pembangunan menjadi tanggungjawab semua rakyat, iaitu masing - masing mempunyai bentuk sumbangan yang tertentu. Ahli politik, anggota profesional, para akademik, saudagar dan pemodal, pakar teknologi, petani, kelas pekerja dan pelbagai golongan lain semuanya perlu bertindak secara kolektif dalam memupuk proses pembangunan berbentuk ini.

        Konsep pembangunan masih kurang jelas dan sering digunakan dalam penulisan sekarang ini, namun dipandang sebagai kebolehan pembuat keputusan untuk membentuk dan membentuk semula keseluruhan alam sekitar ( politik, sosial, ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan lain-lain) menerusi mobilisasi sumber-sumber kebangsaan dan dipimpin oleh ideologi yang sangat mereka percayai. Walaupun pembangunan mempunyai makna yang berbeza-beza di antara satu sama lain, namun satu makna yang diterima umum ialah perubahan. 

     Menurut perspektif Islam, pembangunan bermaksud keupayaan untuk mewujudkan ciri-ciri keislaman dalam diri individu, keluarga, sosial dan kehidupan umat dan juga pengurusan sesebuah negara. Semakin dekat sesebuah negara itu dengan Islam semakin majulah negara tersebut dan begitulah yang berlaku sebaliknya. Pembangunan juga bermaksud pengucapan dinamisme budaya yang dinyatakan oleh keinginan umat Islam untuk berada dalam keadaan Islam.

       Pembangunan kadangkala digunakan dalam pengertian yang sempit hanya sebagai industralisasi atau pemodenan. Pembangunan mungkin dikatakan sebagai satu daripada unsur yang dikenali sebagai kemodenan, sintesis di antara idea pembangunan dan tradisi dalam persektif sejarahnya.



Rujukan :

Shamsul Amri Baharuddin. 1990. Masyarakat Malaysia Yang Membangun.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka .

Mahayudin Haji Yahaya. 1986. Islam dan Pembangunan Negara. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sunday, 24 February 2013

Tugasan Pertama (Bahagian 2)

Bertemu lagi kita dalam bahagian ke-2, entri kali ini berkisahkan tentang kedai makan lain yang popular di kawasan sekitar Gong Badak. Kedai makan yang kami pilih ini adalah sebagai kajian perbandingan antara kedai makan McFly dengan kedai makan yang seterusnya. 
Jika sebelum ini kami memberi sedikit pendedahan mengenai kedai makan McFly yang terkenal di sekitar kawasan Mengabang Telipot, Terengganu  tetapi untuk hari ke-2 kajian, kami ingin berkongsi pula mengenai kedai makan Pok Wan Kopitiam. 


Pok Wan Kopitiam ini terletak di kawasan Gong Badak, Terengganu. Kawasan tumpuan ramai iaitu berhampiran dengan tempat pengajian seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Selain itu, kedai makan ini sangat strategik kerana berada bersebelahan dengan pasar raya besar iaitu pasar raya Hock Kee Seng serta berdekatan dengan kawasan perumahan di sini. 

Pok Wan Kopitiam ini beroperasi pada waktu petang hingga lewat malam sahaja berbanding dengan kedai makan McFly yang hanya beroperasi hingga waktu tengah hari sahaja. Berdasarkan pemerhatian kami, pelanggan yang datang juga adalah terdiri daripada pelbagai golongan seperti golongan pelajar, golongan bekerja dan mereka yang berkeluarga.


Restoran ini besar, pelanggan bebas untuk membuat pilihan sama ada makan di luar atau di dalam kopitiam. Selain itu, Pok Wan Kopitiam ini mempunyai kemudahan wifi dan ruang solat bagi pelanggan di sini.

Bagi mereka yang di luar sana, cubalah datang menjamu selera di sini. Kami cadangkan anda untuk merasai kelainan makanan di Pantai Timur terutamanya di Terengganu. Mungkin anda juga akan terpikat dengan pelbagai jenis masakan Pantai Timur yang lain di tempat anda.  


Tugasan kami masih belum sampai ke penghujungnya, kerana tugasan kali ini kami cuba memberi anda serba sedikit mengenai dua jenis restoran mahupun gerai makan yang berbeza...ehmm akan tetapi kali ini kami cuba mendedahkan kepada anda semua tentang apa yang istimewanya Pok Wan Kopitiam.. hehe.. dari nama pun kita dah boleh teka kan?? Pok Wan Kopitiam ni menyediakan pelbagai jenis makanan dari makanan tradisional masyarakat Melayu khususnya di negeri Terengganu sehinggalah makanan jenis 
''Western Food".


Menu special yang terdapat di Pok Wan Kopitiam......


Antara makanan yang dapat kami kongsikan di sini buat tontonan umum...


Antara jenis minuman yang terdapat di Pok Wan Kopitiam adalah jus segar antaranya seperti jus mangga, tembikai, lobak dan pelbagai pilihan lagi.. walaupun harganya agak mahal namun harga yang dibayar memang berbaloi dengan apa yang diperolehi, jadi memang tak rugi..




Pok Wan Kopitiam bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis menu, tetapi menu yang ditawarkan juga mempunyai rasa yang tersendiri berbanding restoran yang lain malahan aspek kebersihan juga amat dititikberatkan dalam setiap penyediaan makanan, tambahan lagi setiap staf di sini juga dikehendaki berpakaian kemas serta memberikan servis perkhidmatan yang terbaik, bahkan pemilik kopitiam ini juga iaitu Pok Wan sendiri turut sama melayani pelanggannya.

Salah satu tarikan yang ada di sini juga iaitu burger bakar. Keunikan burger bakar Pok Wan Kopitiam adalah, daging burger bakar dihasilkan sendiri menggunakan daging segar dan resepi istimewa.

yang ni pula adalah Nasi Goreng Klasik...


Nasi Goreng "Chicken Chop"


Berikut adalah antara kemudahan yang disediakan untuk para pelanggan..






Dan yang paling penting sekali, Pok Wan Kopitiam ni tidak menjalankan perniagaan secara haram kerana Pok Wan Kopitiam mempunyai lesen perniagaan yang sah dari sisi undang-undang..


Setiap perkerja juga menggunakan sistem "Punch card".











Kopitiam mahu pun kedai makan McFly mempunyai tarikan dan kelebihan yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dari sudut yang berbeza. Setiap pelanggan yang datang tentunya terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur. Pelanggan yang datang juga mempunyai status sosial yang berbeza dan seterusnya akan mewujudkan kehendak serta keinginan yang berbeza. Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai taraf status ekonomi yang tinggi tentunya akan memilih tempat makan yang bersesuaian dengan cita rasa mereka.


Akhir sekali, perubahan sosial yang berlaku pada masa kini juga dapat dilihat apabila gaya pemakanan masyarakat pada masa dahulu yang hanya tertumpu untuk memilih makanan seperti nasi dan lauk pauk sahaja, tetapi pada hari ini pemikiran masyarakat sekarang telah di kontrak sosial kan dengan perubahan gaya pemakanan ke arah yang lebih bersifat kebaratan. Perubahan gaya pemakanan yang telah diadaptasikan dalam kehidupan masyarakat kini berbeza dengan dahulu dilihat dalam pelbagai makanan seperti chicken chop, burger bakar dan spageti.


Sekian sahaja entri kami pada kali ini. 

Saturday, 23 February 2013

Tugasan Pertama (Bahagian 1)

Hari pertama untuk subjek Pembangunan dan Perubahan Sosial ini, kami telah diberikan tugas. Erm... kami diberi tajuk mengenai kedai makan 'McFly'. McFly sangat terkenal di kawasan Mengabang Telipot dan sekitarnya. Umumnya, kedai makan ni sinonim dalam kalangan pelajar IPTA yang berhampiran. Pada awalnya, kami pun tertanya-tanya apakah keistimewaan kedai makan ini???

Kami mula membuat tinjauan untuk mengkaji apakah kelebihan kedai McFly ini. 

Jom, ikut kami .........


Kami sebenarnya tidak tahu pun lokasi sebenar kedai makan McFly ni. Kami ke sini pun dengan berpandukan pelan lokasi yang diberi oleh kawan kami hanya menerusi sistem pesanan ringkas dan Alhamdulilah kami sampai juga ke destinasi yang dituju. Masa ni kami kelam kabut juga, takut tersesat tapi nasib kami sangat baik kerana dengan bantuan pelan tersebut akhirnya kami tiba di kedai makan McFly ini. Setibanya kami di sini, mula-mula tu kami agak tercengang juga dan untuk mendapatkan kepastian, salah seorang daripada kami call kawan kami yang memberikan petunjuk melalui pelan tadi. Menerusi petunjuk dan petanda yang diberi, akhirnya kami berasa sangat lega kerana kami tiba di lokasi yang betul!


Al maklumlah sebelum ni, kami hanya mendengar 'cakap-cakap' orang tentang kedai makan McFly. Kedai McFly terkenal di sekitar kawasan sini kerana kedudukan strategik yang berada dalam kawasan tumpuan orang ramai juga berhampiran dengan pantai, harga makanan dan minuman yang sangat murah serta banyak. 


Kedai makan ni hanya dibuka pada waktu siang sahaja, dibuka sehingga tengah hari. Kalau pergi petang, sia-sia je laa. Kedai McFly ini terkenal dengan nasi goreng yang banyak dalam sebungkus tu, boleh ditambah dengan telur goreng, sambal dan ayam goreng. Nyam nyam.. dengar macam sedap kan? Cuba tengok gambar di atas ni, banyak kan bungkusan nasi tu? Selain itu, ada juga nasi ayam dan pelbagai lagi masakan yang lain. Harga? jangan risau tentang harga, sebab harga makanan ni hanya dalam RM3 ke bawah sahaja. 


Teh'O peng atau lebih dikenali sebagai teh'O ais cuma berharga RM 0.70. Kami hanya minum je ketika menjalankan kajian. 

Ni salah satu meja pelanggan yang ada di situ.
Kami dapati kedai ni berunsur semangat 'hijau',sehinggakan kipas pun dicat dengan warna hijau! (Tak sempat nak ambil gambar kipas). 


Kalau dilihat berdasarkan pemerhatian kami, pelanggan yang datang makan di sini bukan sahaja terdiri daripada golongan pelajar sahaja malah ada juga golongan bekerja yang makan tengah hari di sini. Mereka kebanyakan datang menaiki kenderaan sendiri. Wah, kereta besar-besar datang. Ada juga penduduk di sini yang mungkin pelanggan tetap yang sering mengunjungi kedai makan ini. 

Antara gambar yang sempat kami ambil sepanjang berada di kedai McFly ni.

Sudu dan garpu diletakkan di atas meja dalam susunan begini.






Gambar ni diambil di luar bahagian hadapan kedai McFly.


Setakat ini sahaja hasil laporan kajian kami mengenai kedai makan McFly ni. Tugasan yang diberi ini sedikit sebanyak memberikan kami pengalaman membuat kerja luar tentang kedai makan yang popular sekitar di kawasan Mengabang Telipot, Terengganu. 


Sekian untuk entri kami pada kali ini, tunggu sambungan bahagian ke-2...



Entri Pertama




Pada awalnya, kami diberi tugas dalam subjek teras kursus kami iaitu subjek Pembangunan dan Perubahan Sosial oleh pensyarah kami untuk menghasilkan sebuah blog yang informatif, menarik dan kreatif. Kami sekumpulan mula berfikir dan tertanya-tanya, apakah tema yang sesuai untuk dihasilkan dalam blog kami ini ye?? Kami sahut cabaran itu dengan kerjasama dan sebulat suara kami sekumpulan, lahirlah blog yang kami hasilkan ini dengan tema "sejambak mawar merah".

"Sejambak mawar merah" merupakan simbolik dan tema kumpulan kami. Tema ini dipilih kerana ahli kumpulan kami terdiri daripada kaum wanita. Kami juga percaya kepada kekuatan kumpulan kami. Kaum wanita juga mampu menyahut cabaran masa kini. 


Pada masa kini, blog merupakan sebuah medium yang mampu menjadi saluran suara orang ramai untuk menzahirkan pendapat, meluahkan kata-kata yang berunsur positif dan tentunya ia bersifat umum. 

Oleh itu, tidak dinafikan pada masa kini setiap individu mempunyai blog mereka sendiri. Ada yang menjadikan blog sebagai diari dalam kehidupan mereka, ada yang menjadikan blog sebagai tempat untuk menyuarakan pendapat dalam isu-isu tertentu seperti dalam penulisan ilmiah, akademik, politik dan sebagainya. 


Walaupun blog bersifat umum, namun individu tersebut harus menjaga etika semasa menyampaikan penulisan mereka. Pembaca yang akan membaca blog kita adalah terdiri daripada pelbagai golongan, tidak kira dalam kalangan muda, dewasa, golongan berkerjaya dan golongan profesional.

Kita sebagai golongan cerdik IT masa kini, harus lebih terbuka dan lebih berhati-hati. Memandangkan kita kini berada dalam dunia tanpa sempadan, pelbagai arus teknologi yang diperkenalkan semakin maju dan canggih ke hadapan. Tentunya kita tidak mahu menjadi orang yang buta IT kerana ketinggalan dek arus zaman. Sebaik-baiknya kita guna dan aplikasikan segala kemudahan teknologi yang wujud sekarang dengan penuh rasa tanggungjawab  .

Itu sahaja untuk entri pertama kali ini, semoga kita dapat memanfatkan blog sebagai medium teknologi dalam mencari seluas lautan ilmu di bumi Allah ini dengan sebaik-baiknya.