Monday, 4 March 2013

Konsep Pembangunan

Menurut Para Sarjana Sains Sosial dan Kemanusiaan, pembangunan adalah sebahagian daripada proses perubahan sosial yang lebih menyeluruh sifatnya. Pembangunan itu pula dibahagikan oleh kepada dua kategori iaitu pertama, pembangunan yang dirancang, dan kedua pembangunan yang tidak dirancang. 

         Ternyata hampir keseluruhan tumpuan dunia selama ini adalah terhadap pembangunan yang dirancang. Pembangunan berbentuk ini melibatkan usaha sedar manusia merancang perubahan dalam hidup mereka. Tindakan ini sering diungkapkan sebagai social engineering iaitu yang melibatkan banyak pihak untuk menjayakannya. Dalam konteks sebuah masyarakat, tindakan merancang pembangunan menjadi tanggungjawab semua rakyat, iaitu masing - masing mempunyai bentuk sumbangan yang tertentu. Ahli politik, anggota profesional, para akademik, saudagar dan pemodal, pakar teknologi, petani, kelas pekerja dan pelbagai golongan lain semuanya perlu bertindak secara kolektif dalam memupuk proses pembangunan berbentuk ini.

        Konsep pembangunan masih kurang jelas dan sering digunakan dalam penulisan sekarang ini, namun dipandang sebagai kebolehan pembuat keputusan untuk membentuk dan membentuk semula keseluruhan alam sekitar ( politik, sosial, ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan lain-lain) menerusi mobilisasi sumber-sumber kebangsaan dan dipimpin oleh ideologi yang sangat mereka percayai. Walaupun pembangunan mempunyai makna yang berbeza-beza di antara satu sama lain, namun satu makna yang diterima umum ialah perubahan. 

     Menurut perspektif Islam, pembangunan bermaksud keupayaan untuk mewujudkan ciri-ciri keislaman dalam diri individu, keluarga, sosial dan kehidupan umat dan juga pengurusan sesebuah negara. Semakin dekat sesebuah negara itu dengan Islam semakin majulah negara tersebut dan begitulah yang berlaku sebaliknya. Pembangunan juga bermaksud pengucapan dinamisme budaya yang dinyatakan oleh keinginan umat Islam untuk berada dalam keadaan Islam.

       Pembangunan kadangkala digunakan dalam pengertian yang sempit hanya sebagai industralisasi atau pemodenan. Pembangunan mungkin dikatakan sebagai satu daripada unsur yang dikenali sebagai kemodenan, sintesis di antara idea pembangunan dan tradisi dalam persektif sejarahnya.



Rujukan :

Shamsul Amri Baharuddin. 1990. Masyarakat Malaysia Yang Membangun.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka .

Mahayudin Haji Yahaya. 1986. Islam dan Pembangunan Negara. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment